Pada 14 Julai 2026 (Selasa), Unit Kluster Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) telah berjaya menganjurkan Bengkel Peluasan Kluster Kesihatan Primer Hospital Kluster Pahang Tengah (HKPT) bertempat di Bilik Seminar Orkid / Tanjung, HoSHAS.
Program ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara hospital dan fasiliti kesihatan primer, memperkemaskan sistem rujukan pesakit, serta memastikan kesinambungan penjagaan pesakit yang lebih berkualiti.
Bengkel ini disertai oleh 20 orang peserta, merangkumi Pakar Perubatan Kecemasan HoSHAS, Pakar Perubatan Kesihatan Awam PKD Temerloh, Pakar Perubatan Keluarga KK Temerloh, wakil kejururawatan HoSHAS selain Pegawai Perubatan dari HoSHAS serta 8 buah Klinik Kesihatan (KK) di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Temerloh.Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Ahmad Syahir bin Sarji, Timbalan Pengarah Perubatan II HoSHAS.
Program ini merangkumi empat modul pembentangan teras yang memberikan tumpuan khusus terhadap integrasi serta pemantapan aliran penjagaan pesakit yang menghubungkan fasiliti kesihatan primer dengan Lead Hospital HoSHAS iaitu:
1. Perkhidmatan Pre Hospital Thrombolysis (PHT) untuk Rangkaian STEMI Daerah Temerloh
2. Pengaktifan Acute Stroke Protocol dari Klinik Kesihatan Daerah Temerloh
3. Proses Kemasukan Terus (Direct Admission) ke Wad
4. Perkhidmatan Perawatan Domisiliari (PPD) & PPD Paliatif
Setiap sesi pembentangan telah disusuli dengan sesi perbincangan interaktif mengenai penetapan Petunjuk Prestasi (KPI) dan langkah-langkah pemantauan berterusan ke atas semua program yang telah dirancang.
Keseluruhannya, penganjuran bengkel ini merupakan langkah proaktif yang cemerlang dalam memantapkan integrasi perkhidmatan antara hospital dan Kesihatan Awam. Semoga kerjasama strategik ini memberi manfaat kepada semua pesakit dalam Kluster Pahang Tengah.