Sesi Dialog Dan Libat Urus Strategik Bersama Petugas Keselamatan Hoshas

  • Jabatan / Unit
    Pengurusan
  • Tarikh
    14 August 2026
  • Hingga
    14 August 2026
  • Lokasi
    BILIK Persidangan Anggerik

TEMERLOH, 14 OGOS 2026 – Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) telah mengadakan Sesi Dialog dan Libat Urus Strategik antara Pengurusan Tertinggi Hospital bersama pekerja syarikat kawalan keselamatan sebagai satu usaha memperkukuh aspek keselamatan, disiplin serta komunikasi antara pihak pengurusan hospital dan anggota keselamatan yang bertugas di HoSHAS.
 
Sesi yang dipengerusikan oleh Dr Mazlina binti Mohtar, Timbalan Pengarah Perubatan I (Menanggung Tugas Pengarah Hospital) ini memberi ruang kepada anggota keselamatan untuk menyampaikan pandangan, isu dan cabaran yang dihadapi sepanjang menjalankan tugas, di samping mendapatkan penjelasan serta panduan daripada pihak pengurusan hospital.
 
Dalam ucapan beliau, Dr Mazlina menegaskan bahawa anggota keselamatan merupakan sebahagian daripada pasukan hospital dan memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran hospital sentiasa selamat, teratur dan kondusif untuk pesakit, waris serta warga kerja.Beliau turut menyampaikan amanat serta arahan terkini berkaitan dengan pelaksanaan tugas kawalan keselamatan di hospital. 
 
Antara perkara yang diberi penekanan adalah pematuhan disiplin dan SOP, kawalan akses keluar masuk, kawalan pelawat, rondaan keselamatan, pengurusan individu agresif, keselamatan pesakit dan warga kerja serta tindak balas terhadap situasi kecemasan. Aspek kepentingan komunikasi yang berkesan dan sikap profesional dalam melaksanakan tugas turut ditekankan selain kepentingan melaksanakan tugas dengan amanah, ikhlas dan penuh tanggungjawab, di samping meningkatkan kemahiran insaniah (soft skills) seperti kemahiran komunikasi, kesabaran, kawalan emosi, ihsan dan sikap profesional ketika berurusan dengan pesakit, waris, pelawat serta kakitangan hospital. Anggota keselamatan perlu sentiasa berwaspada, proaktif dan peka terhadap sebarang risiko keselamatan, di samping mengamalkan pendekatan yang tegas tetapi berhemah ketika berurusan dengan pesakit, waris dan warga hospital.
 
“Saya mahu anggota keselamatan bukan sekadar hadir di post, tetapi hadir dengan mata yang melihat, telinga yang mendengar, fikiran yang peka dan keberanian untuk bertindak apabila keselamatan di hospital terancam.”
 
Sesi dialog ini memberi ruang kepada anggota pengawal keselamatan untuk menyampaikan pandangan dan permasalahan yang dihadapi semasa menjalankan tugas di lapangan. Perbincangan mengenai beberapa cadangan penambahbaikan termasuk pengukuhan rondaan di kawasan berisiko, pemantapan sistem kawalan akses kepada waris dan pelawat, penambahbaikan komunikasi antara anggota keselamatan dengan pihak hospital serta semakan semula  prosedur kerja bagi pihak kawalan keselamatan semasa situasi bencana atau insiden melibatkan kepentingan awam atau menarik perhatian awam.
 
Pihak pengurusan HoSHAS turut menghargai komitmen dan dedikasi anggota keselamatan yang bertugas secara berterusan, termasuk pada waktu malam, hujung minggu dan cuti umum bagi memastikan keselamatan hospital sentiasa terpelihara.
 
Sesi ini diharap dapat memperkukuh kerjasama, kepercayaan dan semangat kerja berpasukan antara pihak pengurusan HoSHAS dan anggota keselamatan demi mewujudkan persekitaran hospital yang lebih selamat, mesra dan kondusif.
 
"Keselamatan adalah tanggungjawab bersama"
"Tegas Tidak Semestinya Kasar. Berdisiplin Tidak Semestinya Tidak Mesra"
 
#HoSHAS
#KeselamatanHospital
#KerjaBerpasukan
#KeselamatanTanggungjawabBersama


  • Home
  • Info
  • Aktiviti Terkini
  • Sesi Dialog Dan Libat Urus Strategik Bersama Petugas Keselamatan Hoshas
HOSHAS

QR Code
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.

Copyright © 2022 All Rights Reserved Sultan Haji Ahmad Shah Hospital Official Portal. Updates :28/08/2026 Total Visitors : 26822