Sambutan OSH Day dan Kursus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Tahun 2025 Peringkat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah
Pada 1 Ogos 2025, Unit Kesihatan Awam dan Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan (JKK) HoSHAS telah menganjurkan Sambutan OSH Day peringkat Hospital. Sambutan ini dimulakan dengan Sesi CME Hospital yang bertajuk Defensive Driving bertempat di Auditorium HoSHAS. CME ini telah disampaikan oleh Encik Wan Arif Bin Ismail daripada Unit Penguatkuasaan Lebuhraya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Malaysia.
Antara pengisian CME ini adalah berkaitan langkah-langkah pencegahan yang perlu dilakukan oleh Kakitangan Hospital khususnya dalam pemanduan kenderaan ketika pergi dan balik kerja bagi mengelakkan kemalangan pergi dan balik kerja (Commuting Accident). Seterusnya sambutan bersambung di Bilik Seminar Teratai Kiambang dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Dr Mazlina Binti Mohtar, Timbalan Pengarah (Perubatan) II HoSHAS yang mewakili Pengarah HoSHAS. Sesi Bacaan Ikrar Integriti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah dilafazkan oleh semua peserta kursus yang diketuai oleh Encik Ismail Bin Abdul Rahman dari Unit Kesihatan Awam.
Beberapa Anugerah Pencapaian Cemerlang telah disampaikan iaitu :
1) Anugerah Pencapaian Cemerlang dalam Pelaksanaan Aktiviti Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan bagi Tahun 2024 : Jabatan Patologi
2) Anugerah Pencapaian Cemerlang dalam Penurunan Kes Kecederaan Alatan Tajam (75%) bagi Tahun 2024 : Jabatan Perubatan Am
3) Anugerah Pencapaian Cemerlang dalam Pelaksanaan Aktiviti Saringan Kesihatan Faktor Risiko Penyakit Tidak Berjangkit (100%) bagi Tahun 2025 (Kategori Jabatan < 100 kakitangan) : Jabatan Bedah Mulut & Maksilofasial
4) Anugerah Pencapaian Cemerlang dalam Pelaksanaan Aktiviti Saringan Kesihatan Faktor Risiko Penyakit Tidak Berjangkit (71%) bagi bulan Januari-Jun Tahun 2025 (Kategori Jabatan > 100 kakitangan) : Jabatan Anestesiologi
5) Anugerah Wira Tabah : Encik Mohamed Syarul Eyzzad bin Salleh dari Unit Perhubungan Awam
Anugerah Wira Tabah ini diberikan kepada seseorang kakitangan HoSHAS atas kegigihan dan ketabahan melaksanakan amanah sebagai penjawat awam walaupun pergerakan terhad.
Kursus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan diteruskan selepas Sambutan Perasmian tersebut dengan beberapa pengisian seperti Kekerasan Terhadap Anggota Kesihatan dan Code Grey, WEHU/NADOPOD, Pengendalian HIRARC dan Pengurusan Risiko yang berlansgusng pada sesi pagi. Sesi petang pula diteruskan dengan Slot Pengendalian Alatan Tajam yang mana slot ini dikhususkan kepada Kakitangan Klinikal dan Pegawai Perubatan Siswazah Lantikan Baru. Slot ini juga telah disertai oleh Pihak Wakil Syarikat Terumo.
Semoga dengan pelaksanaan program ini dapat mencapai objektifnya iaitu meningkatkan kesedaran semua Kakitangan HoSHAS untuk mengamalkan budaya kerja yang selamat dan sihat seterusnya dapat melahirkan kakitangan yang produktif dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.