SAMBUTAN WORLD MENTAL HEALTH DAY DAN MENTARI DAY 2026 PERINGKAT HOSPITAL SULTAN HAJI AHMAD SHAH
Temerloh, 9 Oktober 2026 – Sambutan World Mental Health Day dan MENTARI Day 2026 peringkat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) telah berlangsung di Auditorium dan Lobi Utama HoSHAS dengan penyertaan seramai 375 orang, terdiri daripada barisan pengurusan tertinggi serta warga kerja hospital daripada pelbagai jabatan dan kategori perkhidmatan.
Bertemakan “Pengalaman Hidup Didengari: Suara Nyata, Perubahan Direalisasi” (Lived Experience Heard, Real Voice, Real Change), program anjuran Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HoSHAS ini bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan mental, mengurangkan stigma serta menggalakkan empati dan sokongan terhadap individu yang mengalami masalah kesihatan mental.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Mazlina binti Mohtar, Timbalan Pengarah Perubatan I HoSHAS, dan diserikan dengan gimik tayangan visual serta hologram.
Pengisian di auditorium merangkumi sesi Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) yang disampaikan oleh Dr. Hjh. Umi Kalsom binti Mohd Idris, Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HoSHAS. Turut diadakan ialah tayangan video kesedaran kesihatan mental, video aktiviti MENTARI Mentakab serta kuiz interaktif. Pelbagai aktiviti di ruang lobi, termasuk jualan amal, turut memeriahkan sambutan. Program ini juga mengetengahkan peranan MENTARI dalam menyokong pemulihan pesakit melalui perkhidmatan kesihatan mental berasaskan komuniti.
Sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai peringkat warga hospital mencerminkan sokongan bersama terhadap usaha meningkatkan kesedaran kesihatan mental. Diharapkan program ini dapat membudayakan sikap prihatin dan penerimaan tanpa prejudis serta memastikan suara individu yang terkesan terus didengari dan dihargai.
Tahniah dan syabas kepada Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HoSHAS, MENTARI Mentakab serta semua pihak yang menjayakan sambutan ini.
Pengalaman Hidup Didengari: Suara Nyata, Perubahan Direalisasi.

