Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) hari ini berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Anggerik.
Kunjungan ini diketuai oleh Yang Dipertua MPT, Tuan Rizal bin Mustafa, bersama seramai 15 wakil pihak MPT serta Ahli Lembaga Pelawat Hospital.
Dalam pertemuan tersebut, Pengarah Hospital, Dr. Hajjah Nor Azlina Binti Abdul Aziz, turut mengalu-alukan kunjungan pihak MPT serta merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan. Kunjungan ini diharap dapat mengeratkan silaturahim serta memperkukuhkan hubungan kerjasama antara HOSHAS dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT).
Sempena sambutan Nuzul Al-Quran, sebanyak 100 naskhah Al-Quran serta buah kurma telah disumbangkan ke wad-wad dan surau hospital bagi kegunaan pesakit, waris serta warga kerja HOSHAS yang beragama Islam.